Beberapa ketika yang silam, ada seorang ikhwah yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Mat. Mat membesar menjadi seorang yang lalai menunaikan suruhan agama. Meskipun telah berbuih ajakan dan nasihat, suruhan dan perintah dari ayahnya agar Mat bersembahyang, puasa dan lain-lain amal kebajikan, dia tetap meninggalkannya.
Sebaliknya amal kejahatan pula yang menjadi kebiasaannya. Kaki judi, kaki botol dan seribu satu macam jenis kaki lagi menjadi kemegahannya. Suatu hari ikhwah tadi memanggil anaknya dan berkata, ”Mat, kau ni terlalu sangat lalai dan berbuat kejahatan. Mulai hari ini aku akan pacakkan satu tiang di tengah halaman rumah kita. Setiap kali kau berbuat kejahatan, maka aku akan benamkan satu paku ke tiang ini dan setiap kali kau berbuat satu kebaikan, sebatang paku akan ku cabut keluar dari tiang ini”.
Bapanya berbuat sepertimana yang dia janjikan, dan setiap hari dia akan memukul beberapa batang paku ke tiang tersebut. Kadang-kadang sampai berpuluh paku dalam satu hari. Jarang-jarang benar dia mencabut keluar paku dari tiang. Hari silih berganti, beberapa purnama berlalu, dari musim ribut tengkujuh berganti kemarau panjang. Tahun demi tahun beredar lepas. Tiang yang berdiri megah di halaman kini telah hampir dipenuhi dengan tusukan paku-paku dari bawah sampai ke atas. Hampir setiap permukaan tiang itu dipenuhi dengan paku-paku. Ada yang berkarat dek kerana hujan dan panas.
Setelah melihat keadaan tiang yang bersusukan dengan paku-paku yang menjijikkan pandangan mata, timbullah rasa malu dan keinsafan dalam diri Mat kerana selama ini bergelumang dalam dosa dan noda. Maka dia pun berazamlah untuk memperbaiki dirinya.
Mulai detik itu, Mat mula bersembahyang. Hari itu saja lima butir paku dicabut ayahnya dari tiang. Besoknya sembahyang lagi ditambah dengan sunat-sunatnya. Lebih banyak lagi paku tercabut.
Hari berikutnya Mat tinggalkan sisa-sisa maksiat yang melekat. Maka semakin banyaklah tercabut paku-paku tadi . Hari demi hari semakin banyak kebaikan yang Mat lakukan dan semakin banyak maksiat yang ditinggal, hingga akhirnya hanya tinggal sebatang paku yang tinggal melekat di tiang. Maka ayahnya pun memanggillah anaknya dan berkata, ”Lihatlah anakku, ini paku terakhir, dan akan aku cabutkannya keluar sekarang. Tidakkah kamu gembira?” . Mat merenung pada tiang tersebut, bukan rasa gembira yang dilahirkan sebagaimana yang disangkakan oleh ayahnya tetapi dia mula menangis teresak-esak. ”Kenapa anakku?” Tanya ayahnya,”aku menyangkakan tentunya kau gembira kerana semua paku tadi telah tiada.”
Dalam nada yang sayu Mat mengeluh, ”Wahai ayahku, sungguh benar katamu, paku-paku itu telah tiada, tapi aku bersedih kerana parut-parut lubang dari paku itu tetap kekal di tiang, bersama dengan karatnya.”
Sahabat-sahabat yang dimuliakan,
Dengan dosa-dosa dan kemungkaran yang seringkali diulangi hinggakan menjadi suatu tabiat, kita mungkin boleh mengatasinya, atau secara beransur-ansur menghapuskannya, tapi ingatlah bahawa parut-parutnya akan kekal..
Dari itu, bilamana kita menyedari diri melakukan suatu kemungkaran atau sedang di ambang suatu kebiasaan yang buruk, maka berhentilah dengan serta-merta kerana setiap kali kita bergelumang dalam kemungkaran, maka kita sebenarnya telah membenamkan sebutir paku lagi yang akan meninggalkan parut pada jiwa kita, meskipun paku itu kita cabut kemudiannya. Apatah lagi kalau kita biarkan ianya berkarat dalam diri ini sebelum dicabut. Lebih-lebih lagilah kalau dibiarkan berkarat dan tak tercabut.
Wallahua’lam…
No comments:
Post a Comment