Sunday, January 6, 2013

Memandu diri dengan doa


[sumber : ruangan muhasabah, Solusi isu 51]

Pernah berasa putus asa dalam pencarian? Saat itu dunia dirasakan seolah-olah jauh dengan realiti kehidupan sebenar dan isi alam terus mengejek dek kerana kelemahan dan ketidakupayaan yang meliar dalam diri.

Segala usaha yang diikhtiarkan berakhir dengan jalan buntu. Tiada jawapan dan kesudahan yang ditemui. Jangan kusut dan usah lupa! Saat kita jatuh tersungkur di peringkat paling bawah, masih ada kekuatan yang boleh digali… masih ada ubat untuk merawat segala kekacauan hati.. Itulah doa; senjata warisan Mukmin!

Mengapa perlu bersedih? Bukankah al-Khaliq berfirman melalui risalah cinta-Nya dalam surah Ali ‘Imran ayat 139 yang bermaksud : “Dan janganlah kamu berasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati kerana kamu paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman.”

Sesiapa sahaja berhak menadah tangan, merintih dan mengadu kepada Allah. Ketika segala usaha kita digagalkan oleh kelompok manusia yang sibuk mengadu domba, kecoh menambah cerita, jinak menikam dari belakang dan pelbagai lagi sebarang bentuk penindasan.. Ketahuilah, perilaku mereka tidak mampu menyaingi kuasa dan kehebatan doa. Allah pula tidak pernah mensia-siakan setiap permintaan yang dihajati hamba-Nya. Hebat sungguh kuasa doa!

Allah mengajarkan kita supaya menjadi hamba yang bertaqwa dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala kebencian yang dilarang. Sifir yang mudah, lakukan yang baik dan tinggalkan yang buruk. Apalah erti seorang manusia yang menjadi hamba kepada Tuhan-Nya tetapi mahu menidakkan kuasa Allah dalam apa-apa jua perkara.

Jangan malu andai tangan yang diangkat penuh harapan dan rasa ingin bertaubat terkandung padanya 1001 dosa dan noda. Teruslah berdoa dan bertaubat kepada Allah. Mari memperbanyakkan doa untuk perkara kebaikan, serta islahkan diri dengan menambah kualiti diri ke peringkat yang lebih tinggi. Apabila kita sentiasa berdoa mahukan pengampunan daripada Allah, maka kita akan sentiasa berusaha untuk menjauhkan diri daripada perkara yang ditegah oleh-Nya.

WHY WORRY, WHEN YOU CAN PRAY? uhuk