Sunday, December 13, 2009

mencari kebahagiaan?


gambar di'cilok' dari sini

Suatu ketika, kelihatan seorang pemuda duduk di tepian telaga. Dia duduk termenung. Tatapan matanya kosong, menatap hamparan air di depannya. Seluruh penjuru mata angin telah dilewatinya, namun tidak ada satu pun titik yang membuatnya puas. Kekosongan makin terasa, sehinggalah ada suara yang menyapanya. Rupanya ada orang lain di sana selainnya.

"Apa yang kau lakukan di sini, anak muda?" tanya suara itu. Rupanya suara itu milik seorang lelaki tua. "Apa yang kau risaukan?". Anak muda itu menoleh ke arah lelaki tua itu sambil menjawab, "Saya penat, pakcik. Telah berbatu-batu jarak yang saya tempuhi untuk mencari kebahagiaan, namun tak juga ditemukan rasa itu dalam diri ini. Saya telah melewati gunung dan lembah, tapi tak ada tanda kebahagiaan yang hadir dalam diri ini. Ke manakah saya harus mencarinya lagi? dan bilakah akan saya temukan rasa itu?"

Lelaki tua itu menghampiri anak muda tersebut dan mendengar keluhannya dengan penuh perhatian. Dipandangnya wajah lelah anak muda di depannya itu lalu dia mulai berbicara, "Di depan sana ada sebuah taman. Jika kamu ingin jawapan dari pertanyaanmu, tangkaplah seekor rama-rama buatku". Anak muda itu memandang dengan penuh kehairanan. Mereka berpandangan dan lelaki tua itu menambah lagi, "Ya.. tangkaplah seekor rama-rama untukku dengan tanganmu."

Perlahan-lahan pemuda itu bangkit. Langkahnya menuju ke satu arah, taman. Tidak berapa lama kemudian, dijumpainya taman yang dimaksudkan. Taman yang semarak dengan pohon-pohon dan bunga-bunga yang mekar. Tak hairan, banyak rama-rama di sana. Manakala lelaki tua itu melihat dari kejauhan, memerhatikan tingkah laku pemuda yang sedang gelisah itu. Anak muda itu mulai bergerak. Dengan terhendap-hendap ditujuinya sebuah sasaran. Perlahan... Namun, sasaran itu luput. Dikejarnya rama-rama itu ke arah lain. Dia tidak mahu kehilangan buruan. Namun dia selalu gagal. Dia mulai berlari ke sana dan ke mari, tak tentu arahnya. Diterjah dan dirempuh apa yang ada di hadapannya untuk mendapatkan rama-rama itu. Malahan, semak samun pun diredahnya jua. Gerakannya semakin liar.

Adegan itu berterusan, namun belum ada seekor pun rama-rama yang dapat ditangkapnya. Si pemuda mulai kelelahan. Nafasnya memburu, dadanya naik turun dengan cepat. Kemudian dia mendengar lelaki tua itu menjerit, "Hentikan dahulu anak muda. Istirehatlah." Lelaki tua itu berjalan perlahan ke arahnya. Dilihatnya ada sekumpulan rama-rama berterbangan di sisi kanan dan kiri lelaki tua itu. Ia terbang berkeliling, sesekali hinggap di tubuh tua itu. "Begitukah caramu mengejar kebahagiaan? Berlari dan menerjah apa saja? Ke sana sini tak tentu arah? Menerobos tanpa peduli apa yang kau rosakkan?," tanya lelaki tua itu sambil menatap pemuda itu.

"Nak, mencari kebahagiaan itu seperti menangkap rama-rama. Semakin kau terjang, semakin ia menghindar. Semakin kau buru, semakin ia pergi darimu. Namun, tangkaplah rama-rama itu dalam hatimu kerana kebahagiaan itu bukan benda yang dapat kau genggam, atau sesuatu yang dapat kau simpan. Carilah kebahagiaan itu dalam hatimu. Telusuri rasa itu dalam kalbumu. Ia tidak akan lari ke mana-mana bahkan tanpa kau sedari kebahagiaan itu sering datang sendiri." Lelaki tua itu mengangkat tangannya, tiba-tiba seekor rama-rama hinggap di hujung jarinya. Terlihat sayap rama-rama itu memancarkan keindahan ciptaan Tuhan. Pesonanya begitu mengagumkan, sayapnya mengalun perlahan, layaknya kebahagiaan yang hadir dalam hati. Warnanya begitu indah, seindah kebahagiaan bagi mereka yang mampu menyelaminya.

Mencari kebahagiaan ibarat menangkap rama-rama. Sukar bagi mereka yang bernafsu, namun mudah bagi mereka yang tahu apa yang mereka cari. Kita mungkin dapat mencarinya dengan menerjang sana sini. Kita dapat sahaja mengejarnya dengan berlari kencang ke seluruh penjuru arah. Kita pun dapat meraihnya dengan bernafsu, seperti menangkap buruan yang kita santap setelah kita mendapatkannya, namun kita belajar. Kita belajar bahawa kebahagiaan tak bisa didapati dengan cara-cara seperti itu. Kita belajar bahawa bahagia itu memang ada dalam hati. Semakin kita mengejarnya, semakin pula ia lari. Semakin kita berusaha untuk meraihnya, semakin pula ia menjauh. Cubalah temukan kebahagiaan itu dalam hati kita. Biarkan rasa itu menetap dan abadi di sana.

Temukanlah kebahagiaan itu dalam setiap lagkah yang kita lakukan. Dalam bekerja, dalam belajar, dalam menjalani hidup kita. Dalam sedih, dalam gembira, dalam sunyi dan dalam riuh. Temukanlah bahagia itu dalam perlahan, dalam tenang, dalam ketulusan hati. Rasa bahagia ada di sekitar kita. Bahkan mungkin ia 'hinggap' di hati kita, namun kita tidak pernah mempedulikannya. Mungkin juga bahagia berterbangan di sekeliling kita, namun kita terlalu acuh untuk menikmatinya...

2 comments:

Anonymous said...

Kata pakar motivasi pun ada berkata, kebahagiaan datang dari hati..bukan disebabkan kedudukan dan keadaan kita. Dari hati,datangnya kebahagiaan....

NUHA said...

betul tu..